Adly yang juga merupakan calon kerusi Parlimen Alor Gajah berkata, dia mengakui terkejut apabila melihat golongan pengundi muda turut keluar mengundi seawal pagi meskipun hujan renyai.
“Kalau kita lihat dengan hujan renyai-renyai dan bilangan pengundi agak ramai ini saya tengok ia satu perkembangan yang baik dan kalau ia berterusan begini, itu satu bukti sokongan rakyat kepada kita dengan keluar mengundi," katanya.
Terdahulu, beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal bersama isterinya Dalilah Awaludin.
Mengulas lanjut katanya, Adly turut berharap peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini mencecah 80 peratus berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu.
“Saya rasa dengan perkembangan ini saya yakin 80 peratus keluar mengundi itu boleh kita capai, cumanya masih terlalu awal dan ramai lagi yang harus kita peringatkan untuk keluar laksanakan tanggungjawab dengan baik sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden PKR yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu berkata, PH meramalkan kemenangan majoriti mudah jika jumlah peratusan keluar mengundi pada PRU15 hari ini, melebihi 80 peratus.
Pada PRU kali ini, Parlimen Alor Gajah bakal menyaksikan saingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Shahril Sufian Hamdan, penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dari Perikatan Nasional (PN), Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (GTA).