Keyakinan itu disuarakan oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, di sini, pada Isnin.
Beliau dalam masa sama turut mengesahkan ada bertemu dengan pemimpin dari BN di lokasi yang sama.
Bagaimanapun, rundingan bersama dengan BN belum dimuktamadkan.
“Saya berpuas hati dengan perbincangan melibatkan ahli-ahli yang terlibat hari ini.
“Fokus perbincangan kita adalah untuk membentuk kerajaan yang inklusif dan menjaga kepentingan semua rakyat dan budaya negara ini.
“Kemudian kita meletakkan beberapa keutamaan dalam dasar pemerintahan terutama dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan.
“Dua perkara yang perlu difokuskan dalam kerajaan ini adalah berkenaan urus tadbir dan ekonomi.
“Kita yakin dapat membentuk kerajaan yang telus dan demokratik demi kepentingan rakyat.
“Kita kena teruskan dengan kerajaan inklusif, kita masih perlu sokongan daripada parti, kita kena selamatkan negara,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan rundingan rasmi tanpa syarat kecuali yang menyentuh berkenaan isu ekonomi.
Beliau dalam masa sama menghormati bahawa BN masih memerlukan masa untuk melalui beberapa proses setelah mendapatkan akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahlinya.
Justeru, Anwar menegaskan, beliau tidak akan campur tangan berkenaan isu dalaman parti itu.
Menjawab penegasan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, BN tetap menolak untuk bekerjasama dengan beliau dan parti itu, Anwar berkata, kerajaan yang bakal dibentuk bukannya kerajaan yang dibuat atas dasar PH-DAP.
Anwar turut menegaskan, beliau tidak akan mencampuri urusan-urusan kehakiman, termasuk kes yang dihadapi oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah sekiranya PH-BN berjaya tubuhkan kerajaan.
“Mahkamah tidak terikat, badan kehakiman harus bebas. Jangan kaitkan,” ujar beliau lagi.
Anwar antara lain turut mengalu-alukan kerjasama BN-PH di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan melihat perkara itu sebagai perkembangan positif.
Selain beliau, antara mereka yang dilihat hadir sebentar tadi adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu; Presiden Parti Ikatan Demokratik (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Hotel Seri Pacific hari ini menjadi tumpuan setelah desas-desus pertemuan pemimpin BN dan PH tersebar sekali gus menarik perhatian rakyat sama ada adakah terdapat percaturan untuk mendapatkan akuan bersumpah seperti yang berlaku dalam ‘Langkah Sheraton’ pada 2020.