Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak ada perpecahan yang berlaku, sebaliknya setiap perbezaan pendapat diraikan, apatah lagi dalam parti sebesar UMNO dan BN.
"Perselisihan pendapat memang diraikan di dalam parti yang besar seperti UMNO, tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perpecahan.
"Sebab itu, saya dengan Datuk Seri Ahmad Zahid turun bersama kepimpinan tinggi UMNO dan juga BN.
"Maknanya, kita hendak tunjuk kepada rakyat bahawa isu perpecahan dalaman tidak ada dan juga isu perpecahan dalam BN, komponen dengan UMNO juga tidak ada," jelas Ismail Sabri dalam program Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri: Kestabilan & Kemakmuran, yang disiarkan malam ini.
Tambahnya, isu membabitkan ketidakpuasan berhubung calon dalam pilihan raya sememangnya wujud setiap kali pilihan raya umum, namun, beliau yakin dengan kesetiaan setiap ahli terhadap parti.
"Apa yang penting yang hendak saya maklumkan, isu dalaman BN dan UMNO tentang calon sudah selesai. Saya pun sudah berucap setiap kali perjumpaan.
"Saya kata ramai yang layak bertanding tetapi tidak semua kita boleh bagi (jadi calon). Jadi bagi siapa yang tidak dapat bertanding itu, kita faham mereka pasti kecewa tetapi dua tiga hari selepas itu, mereka ‘come back’ dan balik kepada parti.
"Ini berlaku dan kita sudah melihatnya. Terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa misalnya, walaupun nampak pada peringkat awal ramai gembar-gemburkan yang dia akan bertanding dengan (atas tiket) Perikatan Nasional (PN) dengan lambang Pas dan sebagainya, akhirnya Tan Sri Annuar buat ‘come back’ (kembali) kepada kita.
"Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga dianggap sebagai seorang yang tidak berpuas hati, tetapi akhirnya Datuk Seri Tajuddin bekerja keras untuk memastikan calon Parlimen Pasir Salak dapat kemenangan," ujarnya lagi.