KUALA LUMPUR: Parti komponen Perikatan Nasional (PN) perlu bekerja sebagai satu pasukan keluarga besar, bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lebih mencabar berbanding PRU14.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata PRU15 tidak sama seperti PRU14, kerana PN akan berdepan dengan pelbagai lawan terutama DAP, yang memenangi kerusi Parlimen Bangi dengan majoriti besar sebelum ini.

Beliau berkata setiap parti komponen, harus bersama-sama memperjuangkan calon yang ditentukan oleh pucuk pimpinan bagi memastikan kerusi Parlimen Bangi menjadi milik PN.

"Cabaran kita tidak kecil, sebab itu kesungguhan (jentera) tidak boleh kecil kerana apa yang berlaku pada PRU14 (DAP menang dengan majoriti besar), tidak boleh berulang.

"Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan keluarga besar PN, tanam perasaan berprasangka baik dan tingkatkan ukhuwah sebagai prasyarat mencapai kejayaan memenangi kerusi ini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PN Bangi, dekat sini malam tadi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PN Khairul Nadzir Helmi Azhar, yang hadir pada majlis itu juga menjangkakan PN berdepan tugas berat untuk menarik sokongan pengundi, khususnya generasi muda pada PRU15.

"Ini kerana macam-macam perkara boleh terjadi, macam-macam berita akan masuk dalam kepala (diterima) kita (pengundi)... apatah lagi dengan maklumat yang pantas tersebar melalui telefon bimbit sekarang, pastinya membuatkan anak-anak muda cepat terpengaruh," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas.

-- BERNAMA