Penyandangnya P Prabakaran ketika hadir di pusat mengundi hari ini dengan nada bergurau berkata, kertas undi yang diterimanya begitu panjang dengan senarai nama calon-calon bertanding.
“Kertas undi saya terima tadi panjang, tapi straight forward (jelas). Nervous (gementar) saya nak undi siapa tadi,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Prabakaran menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Batu, di sini bagi kerusi P115.
Beliau hadir di pusat mengundi sekitar jam 8.45 pagi dan selesai membuang undi kira-kira 15 minit kemudian.
Jelasnya, perjalanan proses pengundian lancar namun cuaca mendung pagi ini dengan hujan rintik mungkin menyukarkan orang ramai keluar mengundi.
“Cuaca agak kurang memuaskan dengan hujan rintik ini. Saya risau akan sukarkan orang. Namun kita perlu jalankan tanggungjawab kita.
“Saya akan meninjau ke 28 pusat mengundi di dalam Parlimen Batu dan gerakkan bantuan sekiranya ada kekangan dihadapi pengundi,” jelasnya.
Pada PRU14, Prabakaran menang dengan majoriti 24,438.
Kali ini, beliau ditentang antaranya, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua (Bebas), Datuk A Kohilan Pillay (BN), Azhar Yahya (PN), P Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (Bebas) dan Zulkifli Abd Fatah (PRM).
Beberapa muka baharu turut bertanding iaitu Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin yang lebih dikenali sebagai Cleopatra (Bebas) dan dua orang peguam, Siti Kasim (Bebas) dan Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang).