Menurut calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Alor Gajah itu, dasar pembangunan perumahan di peringkat kerajaan negeri juga perlu dikaji dalam memastikan isu limpahan air yang kerap berlaku sehingga menjejaskan ratusan penduduk di kawasan berkenaan dapat diselesaikan.
“Saya akan beri cadangan yang bernas agar segala bentuk pembangunan yang menyebabkan banjir termasuk cadangan bagaimana nak menangani isu limpahan air akibat bencana tersebut dan kos itu mesti dipertanggungjawabkan ke atas pemaju.
“Apabila beri (projek) kepada pemaju tanya mereka sanggup atau tidak (tanggung risiko), kalau tidak sanggup tak usah bagi (projek), itu kita kena tegas dalam kepimpinan.
“Jangan nanti naikkan cukai (penduduk) pula, mereka dah dibebankan dengan harta benda hilang. Takkan penduduk nak dibebankan lagi sedangkan dah berapa tahun isu ini berlaku,” kata Mohd Redzuan atau mesra disapa Pak Wan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni peniaga dan masyarakat di Pasar Awam Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, penyandang kerusi Parlimen itu berkata, sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk menerajui Alor Gajah, beliau akan mewujudkan satu pasukan bertindak dalam kumpulan anak muda khusus bagi memantau bencana banjir berkenaan.
“Antara lokasi panas yang sering terjejas dengan bencana ini adalah di sekitar Durian Tunggal dan Gadek.
“Walaupun bukan banjir besar, tetapi selain bekerjasama dengan Jabatan pengairan dan Saliran (JPS), kita akan adakan task force dalam kumpulan anak muda, kita beri peralatan yang mana mereka akan sentiasa membersihkan saliran,” tambah beliau.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, masalah banjir yang membelenggu penduduk Durian Tunggal, di sini, sejak 15 tahun lalu, bagai tiada kesudahan.
Sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November tahun lalu, ujar mereka, pelbagai janji jangka pendek dan panjang dikemukakan calon bertanding untuk mengatasi masalah banjir di Durian Tunggal.
Namun, mangsa-mangsa banjir berulang di kawasan itu ketika ditemui Astro AWANI berkata, janji berkenaan hanya tinggal di atas kertas apabila penduduk terus dilanda banjir yang tidak berpenghujung sehinggakan mereka mula berasa muak untuk membuat pilihan pada 19 November ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, Mohd Redzuan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) bakal berdepan saingan empat penjuru menentang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan calon Pejuang-Berjasa, Muhammad Nazriq Abdul Rahman.