PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Pakatan Harapan (PH) telah mencapai kata putus untuk membentuk kerjasama pilihan raya, sekali gus memastikan tiada lagi pertindihan kerusi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri Johor lepas.

Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, kerjasama yang turut dipersetujui ialah sokongan parti berkenaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri serta fleksibiliti menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketika mengumumkan tiga calon pertama MUDA bagi PRU15 malam ini, Amira Aisya berkata, melalui rundingan tersebut, parti itu komited untuk memastikan misi ke Putrajaya akan tercapai.

“Ramai yang kata MUDA akan pergi kerusi bandar, tapi semua kerusi yang MUDA pergi tak ada satu pun kerusi bandar.

“Tak ada satu pun kerusi mudah, tetapi kami ambil dengan penuh tekad dan kami komited MUDA dapat beri kemenangan kepada kerjasama MUDA dan Pakatan (Harapan) dan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Tiga calon yang diumumkan ialah seorang jurutera pembuatan berusia 26 tahun, Danial Abdul Majeed (Kepala Batas), peguam dan dua pengasas bersama MUDA iaitu Lim Wei Jiet (Tanjung Piai), dan Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang).

Mengenai status calon kerusi Parlimen seterusnya, Amira Aisya berkata, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mengulas sentimen antara akar umbi MUDA dan PKR, khususnya selepas episod pertindihan kerusi yang berlaku di PRN Johor, Amira Aisya berkata, kedua-dua pimpinan telah memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku lagi.

“Jaminan kedua-dua pihak berikan kepada PH dan MUDA menerusi sesi rundingan tesebut, pastikan tidak ada pertembungan kerusi, itu sangat jelas. Membuktikan komitmen masuk bersama.

“Bermakna, jaminan itu juga satu signal kepada semua akar umbi pimpinan dan rakyat Malaysia secara amnya bahawa kerjasama antara MUDA dan PH dalam PRU15 adalah kerjasama solid, kuat dan kita tekad untuk menang Putrajaya bersama,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, hampir kesemua kerusi yang akan dicabar parti itu bukanlah kerusi yang mudah kerana penyandangnya terdiri daripada barisan menteri dan timbalan menteri.

Namun, tegasnya, MUDA yakin dapat membuat kejutan bersandarkan kepada semangat perjuangan serta tekad untuk memastikan kepimpinan yang lebih bersih, khususnya dalam agenda bebas rasuah.

“Saya harap rakan-rakan dan rakyat Malaysia dapat beri peluang kepada anak-anak muda untuk berkhidmat. Komitmen saya ialah, bagi calon MUDA, dalam tempoh terdekat nanti, setiap seorang daripada calon wajib mengisytiharkan aset bagi memastikan ketelusan, tidak bersandarkan politik wang kuasa dan kontrak, selain mengamalkan budaya akauntabiliti.

“Budaya politik khidmat adalah terbaik untuk pastikan kita bukan saja turun padang (sewaktu musim kempen), tapi apabila ada mandat, mereka akan turun padang setiap hari,” katanya lagi.