Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, bagaimanapun, berkata, perbincangan masih diteruskan untuk menentukan perkara tersebut memandangkan Istana Negara telah melanjutkan tempoh menghantar dokumen, pada pukul 2 petang esok.
"Saya rasa kita masih menunggu dan akan diteruskan perbincangan di peringkat Dewan Tertinggi BN, setakat ini saya tidak boleh memberikan apa-apa kerana belum ada satu kata putus.
"Kita melihat kesemua kemungkinan, jadi setakat ini belum lagi muktamad keputusan dan kita akan buat keputusan bersama esok," katanya kepada pemberita di Menara Dato Onn, di sini, pada Isnin.
Difahamkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang bermula pukul 2.30 petang selesai selepas dua jam berlangsung.
Mesyuarat berkenaan dilihat penting untuk merangka keputusan sama ada memilih Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan atau menjadi pembangkang bagi penggal ini.
Turut senada, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang menyatakan sebarang keputusan akan diputuskan esok dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Difahamkan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat tersebut.
"Mereka akan menentukan esok dan buat yang terbaik untuk negara. Pendirian MIC pun tertakluk kepada mesyuarat yang akan datang," ujarnya.
Selain Ka Siong dan Vigneswaran, antara pemimpin BN lain yang turut menghadiri mesyuarat itu ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.