KUALA LUMPUR: Pengundi harus memikirkan masa depan negara melebihi segala-galanya, tegas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, sekiranya pertimbangan hanya bersandarkan kepada kesetiaan kepada parti bulat-bulat, walaupun sudah terang parti itu bergelumang dengan salah laku, ia hanya akan mengheret negara ke lembah kehancuran.

“Kalau mereka sayang kepada negara, mereka tentu ingin melihat negara ini ditadbir dengan baik.

“Tapi kalau mereka setia kepada parti yang dipimpin oleh penjenayah pun mereka sokong, masa depan negara akan jadi kucar-kacir,” ujarnya dalam program Agenda AWANI pada Selasa malam.

Beliau mendakwa tiada parti yang dibentuk oleh individu yang bebas daripada amalan kotor selain Pejuang, justeru parti itu harus menjadi pilihan pengundi pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, calon P.040 Langkawi itu tidak menafikan keadaannya berbeza berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu di mana sentimennya lebih jelas dan kuat, tidak seperti kali ini.

Ia sehinggakan rakyat Malaysia yang berada di luar negara sanggup pulang untuk mengundi dan hari ini ia dirasakan sendu, mungkin kerana rakyat sudah letih dengan apa yang berlaku sejak itu.

Tambahan pula, kali ini menyaksikan penambahan kelompok besar pengundi muda yang sebahagiannya dianggap tidak begitu cakna dengan politik.

Sungguhpun begitu, Dr Mahathir yakin bahawa mereka yang berpengalaman dengan pilihan raya dan memberi perhatian terhadap jaya atau tidaknya negara ini akan membuat pilihan yang waras dan bijak.


PRU15: Kesetiaan kepada negara harus lebih daripada kepartian - Tun M