PERMATANG PAUH: Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Permatang Pauh dicemari insiden kekecohan di Pasar Malam Penanti membabitkan penganjur tapak pasar malam dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Kekecohan berkenaan didakwa berlaku pada jam 6.45 petang Isnin, sewaktu jentera BN kawasan Permatang Pauh rancak berkempen di kawasan tumpuan orang ramai berkenaan.

Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang, Amir Ghazali, yang mendedahkan perkara itu pada Selasa berkata, pasukannya turut berada tidak jauh dari tempat kejadian ketika kekecohan berlaku.

Dakwanya, PKR kesan kempen parti lawan itu membabitkan insiden yang disifatkan ganas sehingga mencetuskan kekecohan.

"Kekecohan berlaku selepas penganjur pasar malam bertindak menghentikan ceramah yang dilakukan Mohd Zaidi di laluan masuk pasar malam terbabit.

"Kempen calon BN itu bersama lebih kurang 40 jentera tidak mendapat permit atau sebarang kelulusan sama ada daripada polis mahupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ketika kejadian, jentera PKR Permatang Pauh juga sedang menjalankan kempen di pasar malam sama dengan membawa trak ''Ayuh Malaysia'.

"Kehadiran jentera BN di kawasan itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada penganjur pasar malam, namun mereka (penganjur) memberi peluang kepada Mohd Zaidi dan pengikutnya untuk melakukan jelajah di pasar malam berkenaan dan menetapkan tempoh untuk mereka berkempen," dakwanya di sini, pada Selasa.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Khianat bendera parti lawan, Polis Melaka buka kertas siasatan

SEMAK CALON PRU15 DI SINI


Sementara itu, Pengerusi Penganjur Tapak Pasar Malam Penanti, Muhamad Roslan berkata pada awalnya kempen berjalan dengan tenang meskipun berlaku pertembungan dua jentera parti di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun berlaku sedikit perang mulut apabila Mohd Zaidi enggan berhenti selepas tempoh masa yang  diberikan berakhir.

"Bila masa sudah tamat, mereka minta tambah lagi, mereka tak pedulikan arahan kami untuk berhenti.

"Saya terkejut apabila Mohd Zaidi tiba-tiba bertindak agresif selepas saya bertegas meminta untuk menghentikan ceramah namun kekecohan itu berjaya dileraikan oleh orang ramai," dakwanya.

Berikutan kejadian itu, Muhamad Roslan yang juga Bendahari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan berkenaan berkata, pihaknya membuat laporan polis dan berharap insiden sedemikian tidak berulang lagi.


Sementara itu, jurucakap Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima laporan mengenai insiden berkenaan dan siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi menafikan mencetuskan kekecohan itu sebaliknya mendakwa ia adalah fitnah untuk memburukkan dirinya.

Katanya, insiden perang mulut yang berlaku sehingga berlaku kekecohan adalah  berpunca daripada provokasi yang dilakukan pihak terbabit.

Katanya, beliau tidak terkesan dengan provokasi tersebut malah insiden itu juga  tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendedahkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) selama 23 tahun menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

"Saya telah diasak dengan provokasi-provokasi daripada  penyokong Pakatan Harapan (PH) yang jelas sekali mengambil kesempatan kepada saya malah calon mereka sendiri buat sidang media untuk provokasi  saya," katanya.

Menurutnya, beliau tidak terkejut dengan provokasi pihak lawan yang disifatkan tercabar dengan kekuatan BN dalam misi membawa perubahan buat penduduk Permatang Pauh.

“Saya tak terkejut kerana ini  adalah Permatang Pauh. Provokasi seperti ini adalah  perkara biasa, saya rasa mereka lebih tercabar kali ini kerana BN berjaya menembusi kubu-kubu kuat mereka menerusi kempen yang kita jalankan" katanya.