Penyelaras Program Ceramah Kempen Calon BN Parlimen Kinabatangan Datuk OKK Titing Putang berkata gerak kerja kempen GRS-BN sepanjang minggu berkempen yang kini memasuki hari kelapan dilihat berjalan lancar.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Kinabatangan berkata setakat ini, jentera kempen GRS-BN telah menggempur sebanyak 18 daripada 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan pihaknya optimis akan selesai melawat serta bertemu pengundi di setiap PDM dalam tempoh dua hari lagi.
"Kami akan gempur kesemua 27 PDM di seluruh Kinabatangan dengan mengadakan beberapa program dan aktiviti ceramah. Kami akan memperhebat lagi ceramah kempen di setiap PDM pada fasa kedua minggu depan," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program ceramah anjuran PDM Batu Puteh di sini.
Katanya pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda GRS bersama-sama Wanita GRS Kinabatangan juga sentiasa berganding bahu menjalankan beberapa program seperti forum dan ceramah bagi mendekati pengundi muda.
Sementara itu, wakil jentera kempen Parti Warisan (Warisan) Parlimen Kinabatangan Asmat Ali ketika dihubungi Bernama berkata parti itu telah selesai mengadakan program bertemu pengundi membabitkan hampir 95 peratus kawasan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada fasa pertama berkempen.
Beliau berkata DUN Kuamut diberikan tumpuan lebih awal sebelum ke DUN Sukau dan DUN Lamag kerana kawasannya yang luas, selain mencabar dalam aspek perhubungan jalan raya dan akses talian telefon.
PRU15 menyaksikan kerusi Parlimen Kinabatangan berdepan persaingan antara Bung Moktar selaku penyandang kerusi itu selama lima penggal sejak 1999 dan calon Warisan Mazliwati Abd Malek.
Pada PRU14, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah menang dengan majoriti 9,478 undi menewaskan Ghazali Abdul Ghani daripada Warisan dan Mustapa Datu Tambuyong (Parti Harapan Rakyat Sabah).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian awal bagi PRU15 pada 15 Nov manakala 19 Nov sebagai hari mengundi.
-- BERNAMA