BERA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan jentera Barisan Nasional (BN) perlu menangkis fitnah parti lawan yang mendakwa kerajaan gagal menguruskan negara terutama membabitkan ekonomi.

Jelasnya, ketika ini rakyat dimomokkan dengan fitnah bahawa kerajaan di bawah pentadbirannya telah gagal membela rakyat dan membawa perubahan.

"Sekarang ini pembangkang mula perbanyakkan fitnah, saya harap kita mesti menangkis fitnah pembangkang, kononnya kerajaan gagal urus ekonomi dengan baik.

"Sedangkan pertumbuhan ekonomi kita merupakan terbaik di Asia Tenggara iaitu 8.9 peratus bagi suku kedua 2022," jelasnya.

Tambah Perdana Menteri itu, jentera BN perlu menerangkan kepada rakyat mengenai kejayaan kerajaan yang ditadbirnya dalam menguruskan ekonomi.

"Kita lebih baik pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada negara China 0.4 peratus, Amerika Syarikat 1.6 peratus, Eropah 4.0 peratus dan Singapura 4.4 peratus.

"Kejayaan ini bukan kita mengaku sendiri, tetapi Bank Dunia telah menyemak semula unjuran KDNK 6.4 peratus berbanding unjuran kita 5.5 peratus. Bukan kita sengaja mengaku kita hebat," katanya lagi.

Mengulas mengenai taktik parti lawan memburukkan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tambah penyandang kerusi Parlimen Bera itu lagi, penjelasan perlu diberikan kepada rakyat bagi setiap isu dimainkan pembangkang.

"Kalau kita lihat angka saya tunjukkan kejayaan hari ini, tapi pembangkang tuduh gagal tapi kalau kita tak menjawab, berdiam diri rakyat akan percaya kita gagal," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Peringkat Negeri Pahang di sini pada Khamis.

Dalam majlis yang sama, Ismail bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut melancarkan Jentera BN Negeri Pahang sempena PRU15.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Roshdy Wan Ismail.