KUANTAN: Polis mengingatkan parti politik agar tidak memasang bahan kempen di lokasi dan premis yang boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata perbuatan sedemikian boleh mengundang risiko termasuk kepada pengguna jalan raya.

"Kadang-kadang ada bendera dipasang terlampau hampir dengan simpang tiga sehingga menjejaskan pandangan pemandu dan juga boleh menimbulkan kemudaratan.

"Ini perlu sangat dielakkan dan pemasang-pemasang bendera atau bahan kempen ini perlu mengambil kira faktor ini.

"Saya nak menasihatkan supaya di mana juga kempen ini diadakan, urus setia parti perlu menentukan orang orang yang diupah (pasang bahan kempen) adalah orang yang tidak ada 'masalah mental' dan sebagainya, ataupun 'kurang siuman'.

"(Sebab) kadang-kadang orang orang ini mereka dalam mengambil upah itu tidak mengambil kira faktor-faktor keselamatan... dia akan menyusahkan semua pihak," katanya di sini, hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Kerajaan Selangor setuju beri cuti umum pada 18 Nov - MB Selangor

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Ramli juga berkata sekiranya ada laporan polis mengenai pemasangan bahan-bahan kempen sedemikian, polis akan merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menurunkannya.  

Tambah Ramli pemasangan pada premis atau kemudahan TNB seperti di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit adalah antara yang dilarang.