KUALA LUMPUR : Isu perumahan dan infrastruktur untuk anak muda di kawasan Gombak menjadi keutamaan bagi calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau mempertaruhkan dirinya sebagai anak jati Gombak yang lebih memahami isu-isu masyarakat yang didakwanya gagal diselesaikan oleh dua Menteri Besar Selangor untuk tiga penggal terakhir.

"Banyak lagi perkara di Gombak ini yang tidak selesai, daripada tiga penggal yang lepas kita mempunyai dua Menteri Besar dari Parlimen Gombak tetapi malangnya apa yang berlaku di kawasan ini adalah cukup menyedihkan.

"Penduduk Gombak makin hari makin bertambah, anak-anak jati Gombak selepas  berkahwin tidak tahu nak pergi mana kerana tiada rumah-rumah yang murah dan malangnya tiada sesiapa yang memikirkan dan bercakap soal ini.

"Akhirnya apa yang berlaku mereka terpaksa keluar dari kawasan ini, ini yang kita tidak mahu. Kita mahu anak Gombak lahir di sini dan tinggal sini sehingga meninggal dunia," katanya ketika ditemui pemberita di SMK Sg Pusu selepas proses penamaan calon, pada Sabtu.

Selain itu, Megat yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor berkata, pembangunan infrastruktur turut menjadi perkara yang akan dibentangkan di dalam manifestonya.

"Soal kemudahan anak-anak muda sebagai contoh di tempat kita berada di SMK Sungai Pusu, jika dilihat dari Batu 6 hingga Batu 16 tiada satu pun padang bola yang boleh dimain anak-anak muda kawasan Gombak.

"Jadi mereka terpaksa menyewa di tempat-tempat lain untuk bermaim bola dan sebagainya," ujarnya.

Kerusi Parlimen Gombak menyaksikan persaingan sengit lima penjuru diantara Megat Zulkarnain (BN-UMNO), Amiruddin Shari (PH-PKR), Azmin Ali (PN-Bersatu).

Turut bertanding calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk aziz Jamaludin Mhd Tahir (Perkasa-GTA) dan calon bebas Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.