Pihak media sebelum ini menjangkakan keadaan di luar istana pastinya sibuk menjelang tengah hari kerana nama calon Perdana Menteri ke-10 perlu dikemukakan kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang nanti.
Namun, sebentar tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon agar tempoh penyerahan surat akuan bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong dilanjutkan mengikut tempoh yang lebih fleksibel bagi membolehkan rundingan bersama gabungan lain diadakan.
Dalam perkembangan sama, dakwaan berkaitan kerjasama di antara BN dan Pakatan Harapan (PH) semakin hangat diperkatakan apabila perjumpaan di antara pemimpin kedua-dua parti itu sedang berlangsung di Hotel Seri Pacific, di sini.
Malah, di media sosial juga beberapa keping foto yang tular yang mendedahkan hampir kesemua pemimpin tertinggi BN dan PH berada dalam mesyuarat tersebut.
Antara yang dilihat hadir ialah Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Ahmad Maslan dan beberapa lagi bagi pihak BN.
Manakala di sebelah PH pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Mohamad Sabu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa lagi individu lain.
Berkaitan dengan satu lagi rundingan kerjasama, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebentar tadi memutuskan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, gabungan itu turut bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN) dan parti dari Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti lain yang bersedia membentuk kerjasama.
Persoalannya, jajaran baharu parti manakah yang akan membentuk kerajaan dan siapa yang akan dipilih sebagai Perdana Menteri ke-10?
Teruskan mengikuti kami di semua platform media sosial Astro AWANI dan astroawani.com!