Malah tegas Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong, semua pihak khususnya pengundi di seluruh negara sedar tawaran berkenaan sudah basi memandangkan meskipun pernah berjaya mengambil alih tampuk pimpinan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, ianya tetap gagal dilaksanakan.
"Kalau mereka tahu kenapa nak bagi janji manis, janji bulan dan bintang dan tiba-tiba mereka nampak tak dapat laksana apa yang mereka janjikan, itu masalahnya.
"Apabila kita melihat janji yang basi ini, dia nak goreng semula, nampaknya rakyat dah tahu lah ini temberang, ini adalah tipu helah mereka," katanya.
Mengulas lanjut beliau yakin pengundi kali ini lebih bijak menilai segala janji pembangkang yang terbukti tidak pernah ditepati.
Katanya, sesebuah kerajaan seharusnya pragmatik terhadap kepentingan rakyat dan beliau tidak mahu rakyat negara ini terpedaya buat kali kedua dengan segala janji yang ditaburkan pembangkang.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pengangkutan memberi jaminan bahawa pembangunan sektor pengangkutan awam di Melaka akan diteruskan jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada PRU15.
Antara projek yang pernah dirancang tambahnya ialah pembinaan tram sebagai hub pengangkutan awam terbaharu di Melaka.
Menurutnya, bukan sahaja tram, malah projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) juga akan dirancang serta direncanakan semula demi kebaikan rakyat.