PELABUHAN KLANG: Bekas pemimpin PKR Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor antara sembilan bakal calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bertanding di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden PRM Ahmad Jufliz Faiza mengumumkan Mohamad Ezam akan bertanding di Parlimen Petaling Jaya.

Sementara itu, Ahmad Jufliz yang juga seorang peguam mengesahkan beliau akan bertanding di Parlimen Sungai Buloh.

"PRM di Selangor akan bertanding di sembilan kerusi Parlimen masing-masing di Kuala Selangor, Bangi, Petaling Jaya, Sungai Buloh, Kapar, Klang, Kota Raja, Kuala Langat dan Sepang.

"Kami juga akan menghantar masing-masing satu calon bertanding di kerusi Parlimen Batu (Kuala Lumpur) dan Batu Pahat (Johor)," katanya kepada pemberita pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Parlimen Selangor, Johor dan Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Diminta mengulas kriteria calon yang dipilih, Ahmad Julfiz berkata pihaknya tidak meletakkan sebarang kriteria sebaliknya mengutamakan individu yang sanggup berkhidmat untuk rakyat.

Berikut adalah senarai calon PRM bagi PRU15 di Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur:

P096 Kuala Selangor - R. Loganathan

P102 Bangi - Chee Chee Meng

P105 Petaling Jaya - Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor

P107 Sungai Buloh - Ahmad Jufliz Faiza

P109 Kapar - W. Jeichandran

P110 Klang - S. Chandrasegar

P111 Kota Raja - Sarah Afiqah Zainol Arif

P112 Kuala Langat - M. Ganeskumar

P113 Sepang - R. Nageswaran

P115 Batu - Mohd Zulkifli Abdul Fattah

P150 Batu Pahat - Zahari Osman



-- BERNAMA