Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakyat boleh menilai setiap tohmahan yang digembar-gemburkan apatah lagi apabila kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu masih gagal mengemukan sebarang bukti kukuh.
“Itulah, apabila sudah dekat pilihan raya ini diorang boleh buat macam-macam tuduhan dan saya ingat lagi pilihan raya terdahulu (PRU14) dia orang kata ada bukti bertong-tong.
“(Tetapi) selepas pilihan raya satu benda pun tidak nampak yang mana saya tengok politik sebegini rupa akhirnya orang dapat menilai sendiri sama ada apa yang mereka cakap ini serius atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra bersama calon Barisan Nasional (BN) Jasin, Datuk Roslan Ahmad dan jentera parti di Dewan Alamanda, di sini, pada Isnin.
Hishammuddin mengulas tindakan Anwar yang masih belum mengemukakan bukti berhubung dakwaan kononnya anggota tentera di Bera, Pahang, sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dibayar RM300 untuk berbuat demikian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, taktik sengaja membuat kenyataan semasa pilihan raya itu bukan sesuatu yang baharu memandangkan setiap tuduhan dibuat sebelum ini tetap gagal disertakan dengan sebarang bukti.
“Saya percaya ramai anggota (tentera) kita dan orang ramai juga marah dengan Datuk Seri Anwar kerana mereka tengok kalau nak berpolitik pun jangan lah sampai buat tuduhan (melampau).
“Dulu dia kata ada bukti, sampai hari ini tidak ada (bukti ). Kalau ada bawalah kepada agensi berkaitan untuk siasat, dia buat macam-macam kenyataan masa pilihan raya saja, kementerian ada banyak lagi kerja lain,” tambahnya.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengharapkan proses pengundian awal pada esok berjalan dengan lancar dan semua pegawai dan anggota tentera dapat menjalankan tanggungjawab mereka sehabis baik.
“Dari segi pengundian awal saya harap mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan disiplind dan seperti biasa saya doakan semua yang memikul amanah melihatnya sebagai satu tanggungjawab,” kata Hishammuddin yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong pada PRU15.