Dalam keriuhan penyokong kedua-dua parti, calon PN yang juga penyandang kerusi Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilihat tidak berkecil hati dengan sorakan ‘pengkhianat’ oleh penyokong PH, malah beliau sempat mengangkat tangan dengan senyuman mekar ke arah kumpulan itu.
Bagaimanapun, pasukan polis mengawal dengan ketat untuk mengelakkan provokasi melampau antara kedua-dua kumpulan penyokong itu.
Ahmad Faizal yang lebih mesra dikenali sebagai Peja, dilihat memasuki PPC sekitar pukul 8.50 pagi diiringi calon PN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Hafez Sabri dan Puteri Holijah Mohd Rali (DUN Hulu Kinta).
Terdahulu, calon PH yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki PPC diiringi calon DUN Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad dan calon DUN Manjoi, Asmuni Awi.
Sementara itu, calon BN Datuk Aminuddin Md Hanafiah memasuki PPC dari persimpangan bertentangan diiringi calon DUN Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abdul Rahman dan calon DUN Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd Aziz.
Pada PRU14 (2018), Ahmad Faizal berjaya merampas kerusi Tambun daripada penyandang ketika itu Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dengan majoriti 5,320 undi.
Untuk PRU15, persaingan di Tambun antara menjadi tumpuan negara selepas Anwar mengumumkan akan
menjadikan Parlimen itu dan Perak sebagai pusat barisan hadapan untuk PH menawan Putrajaya.
Bagaimanapun, pandangan awal pemerhati berpendapat, kerusi itu bukan laluan mudah untuk bekas Timbalan Perdana Menteri itu memandangkan berdasarkan perpecahan di kalangan 65 peratus pengundi Melayu, serta peningkatan hampir 60,000 pengundi baharu ekoran pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik.
Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tambun dijangka mengumumkan senarai rasmi mereka yang bertanding di Parlimen ini kira-kira pukul 11 pagi, selepas selesai tempoh bantahan.