KOTA BHARU: "Ada yang menghasut jentera di bawah supaya memboikot saya."

Itu luahan penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi apabila digugurkan daripada calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hasutan sedemikian, kata Che Abdullah atau mesra disapa Che Loh yang kini dicalonkan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) sangat kecewa.

Justeru, ikrar Che Abdullah, beliau akan menebus maruahnya dalam PRU15 pada 19 November ini.

“Mereka (jentera) dihasut oleh individu tertentu mengatakan saya mahu membalas dendam terhadap Pas," katanya ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Calon BN Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Menurut Che Abdullah, sejujurnya, beliau masih sayangkan Pas kerana sedari usia kecil lagi sudah begitu mengenali dan akrab dengan partis berkenaan sehinggalah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Wakaf Bharu sejak 2008.

"Saya menerima tawaran ini kerana saya tiada pilihan. Saya mahu menebus kembali maruah saya dan keluarga," luahnya.



Dalam pada itu, Che Abdullah berkata, selama berada di dalam Pas, beliau telah berjaya menyatukan masyarakat dan parti politik yang ada di kawasannya dengan mewujudkan perpaduan yang erat.

Namun begitu, beliau berasa sangat sedih apabila segala pengorbanan dan perjuangannya terhadap parti tidak dihargai.

Terdahulu, Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Che Abdullah dipilih sebagai calon kerana BN amat yakin dapat memenangi kerusi Parlimen Tumpat.

Katanya, BN Kelantan berharap penampilan Che Abdullah akan memberi saingan sengit kepada calon lain terutama daripada PN.

Che Abdullah adalah ahli Pas dan pertama kali memenangi kerusi Parlimen Tumpat pada PRU14 (2018) dengan majoriti 17,500 undi.