Pandangan itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, yang juga Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran Malaysia.
Tambahnya selain itu, anak muda juga menilai taraf pendidikan, rekod perkhidmatan serta kemampuan untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Pengundi yang berusia 18 hingga 39 tahun yang akan mengundi pada kali ini melihat pelbagai aspek. Pertama aspek calon, ia menjadi faktor utama penentuan pilihan anak muda.
"Calon yang sedia ada mungkin akan dinilai prestasi dan tahap kepimpinan calon itu kerana sekiranya mereka tidak berfungsi pada masa lepas, atau semasa menjadi wakil rakyat, mereka akan ditolak.
"Calon muda pula akan dinilai taraf pendidikan, kebolehcaknaan atau kemampuan untuk berkhidmat... adakah calon mereka pilih boleh laksanakan tugas?
"Calon yang dipilih nanti perlu membawa perubahan bukan sahaja di kawasan bandar sebaliknya luar bandar agar jurang kemajuan itu tidak ketara.
"Saya juga melihat anak muda lebih cenderung memilih calon yang kurang protokol atau calon buleh bergaul dengan lebih mesra dan lebih rapat, atau isitilah kata 'masuk daun' dengan anak muda, ini kelebihan," katanya kepada Astro AWANI.
Katanya, ketika ini pengundi muda merupakan golongan penentu dengan peratusan tinggi mewakili undi di sesebuah kawasan.
Mohd Syahbuddin berkata, corak kepimpinan masa hadapan ditentukan oleh pilihan anak muda.
"Sebagai contoh di Parlimen Gua Musang, jumlah pengundi bawah 39 tahun adalah 63.4 peratus dengan sebahagian mereka berada di luar Parlimen Gua Musang.
"Rata-rata pengundi muda melebih 50 peratus di kebanyakan kawasan di seluruh negara.
"Ini membuktikan corak kepimpinan masa depan ditentukan oleh pilihan dari anak muda," katanya.
Beliau berkata, selain itu tawaran yang dibawakan calon juga menjadi faktor penentu.
"Sekiranya tawaran oleh calon mampu menarik minat pengundi muda antaranya menyentuh soal peluang pekerjaan, pemilikan rumah pertama untuk anak muda, peluang perniagaan, kemudahan pinjaman dan pembiayaan untuk mereka berniaga, ia dapat menarik minat golongan muda," katanya.