Perkara itu dimaklumkan Yang Pang yang mesra disapa Ah Pang dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Beliau turut memohon maaf kepada pengundi-pengundinya kerana tidak dapat bertemu dan berkongsi aspirasinya sebagai calon BN di Parlimen Bukit Mertajam berikutan dijangkiti wabak berkenaan menjelang hari pembuangan undi.
"Walaupun saya menjalankan kuarantin kendiri di rumah, kempen-kempen saya akan diteruskan oleh rakan seperjuangan Team Ah Pang. Saya juga hendak meminta maaf kerana tidak dapat memberi risalah saya dengan tangan sendiri.
"Rakan Team Ah Pang juga akan memantau keadaan paras air di kawasan-kawasan banjir. Team Ah Pang akan cuba sedaya upaya untuk menghulur bantuan kepada mangsa. Jika perlu bantuan boleh hubung bilik operasi 04-5394003," kata beliau dalam hantaran tersebut.
Yang Pang bertanding menentang penyandang bagi kerusi Parlimen tersebut, Steven Sim yang mewakili Pakatan Harapan dari DAP serta calon Perikatan Nasional (PN), Steven Koh dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada Sabtu ini (19 November).