PERMATANG PAUH: Barisan Nasional (BN) akan terus memberi saingan sengit di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun kerusi itu secara tradisinya milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak lebih 20 tahun lepas.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, BN tidak akan memberi laluan mudah kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang sekali lagi mempertaruhkan penyandangnya Nurul Izzah Anwar.

“Sememangnya daripada awal lagi memang kita menjangkakan bahawa Nurul Izzah akan kekal di Permatang Pauh. Selama ini jentera kita (BN) juga sudah bersedia dengan segala strategi untuk menentang Nurul Izzah di Permatang Pauh… kita sudah jangka dan kita tak terkejut dengan keputusan yang dibuat itu,” kata Mohd Zaidi kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, dengan kekuatan semangat dan jentera  yang dimiliki BN, mereka tidak gentar untuk ‘berperang’ sekali lagi dengan calon nama besar atau ‘heavyweight’ daripada pihak lawan itu.

Katanya, jentera BN sudah bergerak sejak daripada awal lagi bagi memastikan kawasan yang pernah menjadi kerusi tradisi UMNO dapat dimenangi kembali kali ini.


“Kita memang anggap Nurul Izzah sebagai calon ‘heavyweight’, kalau orang (calon) lain lebih mudah bagi kita. Selama ini yang kita jangka Datuk Seri Anwar sendiri akan balik ke Permatang Pauh atau Nurul Izzah akan kekal.

“Ini dua nama besar yang kita  nampak menjadi penentang atau pencabar utama kita di Permatang Pauh ini,” ujar beliau lagi.

Ditanya mengenai calon yang bakal bertanding di Permatang Pauh pula, Mohd Zaidi berkata, BN Pulau Pinang telah mencadangkan tiga nama untuk dipertimbangkan oleh BN Pusat.

Tambah beliau, calon anak tempatan menjadi keutamaan UMNO Permatang Pauh kerana lebih memahami denyut nadi penduduk Parlimen berkenaan selain suasana politiknya, serta permasalahan yang ada di kawasan itu.

Astro AWANI difahamkan nama Mohd Zaidi juga sekali lagi disebut-sebut sebagai salah seorang calon yang diketengahkan BN di Permatang Pauh untuk  bertemu Nurul Izzah pada PRU15.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh Nurul Izzah dari PKR dengan undi 35,534 sementara Mohd Zaidi memperoleh undi sebanyak 19,866 undi sementara calon Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden memperoleh 14,428 undian.