Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata, apa yang lebih penting adalah untuk membawa obor perjuangan parti dan bukan kepentingan peribadi.
Barisan Nasional (BN) dan UMNO, jelas beliau, akan tetap menyahut cabaran meletakkan calon di Parlimen Pasir Gudang.
"BN menerusi UMNO akan tetap bertanding di Pasir Gudang dan saya serah kepada pucuk pimpinan untuk tentukan mana sahaja saya diletakkan.
"Saya bukan pertama kali bertanding dan bukan untuk diri saya, di mana-mana pun saya mewakili BN dan UMNO jadi pergi mana pun sama saja," katanya ketika hadir merasmikan Cawangan UMNO D' Rimba Pasir Gudang, di sini, pada Sabtu.
Khaled berkata demikian sebagai mengulas spekulasi yang menyebut beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi pada PRU15.
Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan pengundi kali ini untuk mengambil kira kedudukan kerajan negeri bagi memastikan kejayaan Pilihan Raya Negeri Johor lalu dapat diulangi.
"Rakyat perlu guna peluang ini untuk Johor terus stabil dengan tidak meletakkan parti lain yang boleh jejaskan kedudukan Johor.
"Rakyat mesti pastikan kerajaan negeri dan Pusat dari parti sama supaya tidak terputus apa-apa perancangan yang akan dibuat," ujarnya lagi.
Terdahulu, pada program perasmian Cawangan UMNO D' Rimba Pasir Gudang, seramai 60 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO.