Menurutnya, jika BN menang, belanjawan tersebut akan dibentangkan semula bagi memastikan perancangan kewangan teratur, namun jika pengundi silap memilih, bajet berkenaan belum tentu dapat dilaksanakan oleh pentadbiran baharu.
Sehubungan itu katanya, rakyat diminta tidak mudah tertipu dengan janji palsu khususnya daripada pihak yang tidak mampu menunaikan janji sebagaimana berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Kita kalah pada PRU14 kerana ada pengundi hendak mencuba kerajaan baharu, tetapi 22 bulan Pakatan Hadapan (PH) memerintah, tiada pembaharuan dibawa bukan sahaja di Kuala Selangor, negeri Selangor tetapi di seluruh Malaysia," katanya ketika berucap pada Sembang Santai Anak Muda Kuala Selangor di Bandar Puncak Alam di sini pada Isnin.
Turut hadir, calon BN mewakili kerusi Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, rakyat boleh membuat perbandingan semasa pemerintahan BN selama 60 tahun berbanding pentadbiran PH dalam tempoh 22 bulan.
"Kita jangan tertipu lagi dengan pembangkang dan jika kita diberi peluang, pelbagai insentif diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 untuk golongan belia pastinya akan diteruskan," katanya. -Sinar Harian