Pada penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu itu, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Azmin Ali (PN-BERSATU) berdepan cabaran daripada Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari (PH-PKR).
Turut diumum mencabar Azmin ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN-UMNO) dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Perkasa-GTA).
Kerusi Parlimen Gombak turut menarik kemasukan calon Bebas yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad yang mengemukakan borang pencalonan.
Pengumuman kesemua calon itu disahkan oleh Pegawai Pengurus SPR Parlimen Gombak, Nor Azlina Abd Aziz pada pukul 10.30 pagi ini.
Pada PRU14, Azmin yang bertanding atas tiket PKR menang besar dengan 75,113 undi (majoriti 48,721) menewaskan calon BN, Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan calon PAS, Ir. Khairul Nizam yang masing-masing memperoleh 26,392 undi dan 17,537 undi.
Kerusi Parlimen Gombak merupakan kerusi panas susulan ikrar Pakatan Harapan (PH) yang mahu merampas semula kerusi dalam senarai 'pengkhianat'.
Azmin memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada PRU14 sebelum membuat keputusan menyertai parti Bersatu.
Ini ditambah dengan naratif PH bahawa Azmin memainkan peranan dalam 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan kerajaan PH yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Bersaru berkubur selepas 22 bulan memerintah.