KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan Andi Muhammad Suryady Bandy sebagai calon yang akan bertanding di Parlimen Kalabakan, menggantikan Aslan Fadli, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman tersebut dibuat menerusi kenyataan media dikeluarkan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam.

Menurutnya, pemilihan Andi dibuat berdasarkan latar belakang beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan, selain masalah teknikal melibatkan pencalonan Aslan.

"Andi merupakan ADUN bagi kawasan N.71 Tanjung Batu dan dilantik sebagai Pembantu Menteri Belia dan Sukan dalam Kabinet Negeri Sabah pada Oktober 2020.

"Barisan Nasional Sabah memutuskan untuk menamakan calon baharu P.191 Kalabakan disebabkan masalah teknikal," katanya.

Pada masa sama, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Benedict Asmat turut diumumkan sebagai calon BN yang akan bertanding Parlimen Beluran.

Pemilihan Benedict, menurut Bung, dinilai bedasarkan pengalaman beliau sebelum ini yang pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Selain itu, latar belakang pendidikan dan statusnya sebagai anak jati di daerah tersebut turut menjadi pertaruhan BN dalam PRU15.

"Pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Beluran selama 20 tahun sebelum dilantik menjawat beberapa jawatan penting kerajaan.

"Ia termasuk sebagai Pegawai Daerah Semporna, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah," tambah Bung.

Secara keseluruhan, BN Sabah bakal bertanding di 13 kerusi Parlimen manakala rakan kongsinya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding di 12 kerusi di negeri itu.