KANGAR: UMNO Perlis yakin ahlinya di peringkat akar umbi khususnya di bahagian Arau dan Padang Besar terus setia kepada parti walaupun dua tokoh besar di kawasan tersebut tidak tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata berdasarkan pengalaman UMNO sebelum ini, ahli-ahlinya tidak akan berganjak untuk terus memberi sokongan kepada calon parti dan sebarang perbezaan pendapat yang berlaku hanyalah bersifat sementara.

Pada majlis pengumuman bakal calon BN bagi PRU15 di ibu negara malam tadi, dua tokoh politik di Perlis iaitu penyandang kerusi Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin tidak disenaraikan.



Ketua Puteri UMNO Zahidah Tarik Khan dinamakan akan bertanding di Parlimen Padang Besar dan bekas Naib Ketua UMNO Arau Datuk Rozabil Abd Rahman pula di Parlimen Arau. Turut dinamakan sebagai calon di Perlis ialah Exco Pemuda UMNO Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya untuk Parlimen Kangar.

"Insya-Allah, kita (UMNO Perlis) akan dapat hadapi ini. Apa yang akan berlaku hanya ibarat ribut sementara dan tidak akan berpanjangan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.



Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN

Azlan yang juga Menteri Besar Perlis berkata nama-nama calon yang diumumkan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO itu adalah sesuai jika dilihat dari segi kedudukan dan latar belakang calon yang hebat serta boleh membantu BN menang di Perlis.

[INFOGRAFIK] Senarai Ahli BN tidak dicalonkan


--BERNAMA