Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di laman media sosial Twitter.
"Saya ingin sahkan bahawa menurut Fasal 9.6 Perlembagaan UMNO, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah melantik Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan UMNO berkuatkuasa hari ini.
"Ini berikutan peletakan jawatan Shahril Hamdan pada hari ini. Terima kasih atas khidmat yang telah diberi saudara Shahril," katanya.
Pada Ahad, Shahril Hamdan mengumumkan meletak jawatan Ketua Penerangan UMNO dan mendesak Ahmad Zahid berundur secara terhormat susulan prestasi buruk parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.
Sementara itu, Isham Jalil dalam kenyataan di Facebook berkata, beliau percaya UMNO perlu perlu membuat pembaharuan dalaman kepada parti.
Beliau turut berikar untuk tidak lari daripada perjuangan dan berkorban untuk parti.
"Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang akan kita tempuhi bersama di kala ini, kita tidak boleh berputus asa.
"Tanggungjawab ini adalah berat lebih-lebih lagi dikala kita berada dalam kekalahan dan kesempitan ini.
"Sebab itu saya terima tanggungjawab ini dan akan memegang amanah ini dengan sebaiknya walaupun kita sudah tidak punya apa-apa. Doakan saya," ujarnya.