SHAH ALAM: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat bagi mengesahkan keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika sekiranya mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, langkah itu dilihat lebih baik berbanding desakan dan cemuhan yang dibuat setiap kali pembangkang menyuarakan pandangan supaya pilihan raya tidak diadakan tahun ini.

“Kemuka undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, apakah beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid yang mendakwa pembangkang memberi pelbagai alasan untuk melengahkan PRU15 demi ‘membeli masa’ untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi rakyat sekali lagi.

Menurutnya, semua sedia maklum bahawa pilihan raya akan menelan kos berbilion ringgit.

“Di saat rakyat sedang dihimpit kesusahan nyata pada hari ini, Presiden UMNO seharusnya cakna dalam memastikan wang sebanyak itu digunakan untuk membantu rakyat dan bukannya berhabis berbilion ringgit untuk nafsu politik beberapa kerat manusia,” katanya


Artikel asal di Sinar Harian