GOMBAK: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Gombak Setia menyaksikan persaingan tiga penjuru di antara calob Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

BN mempertaruhkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bagi merampas kerusi yang disandang calon PN, Muhammad Hilman Idham.

Sementara calon Bebas yang turut bertanding di kerusi itu ialah Mohamed Salim Mohamed Ali.

Pengumuman dibuat Pengurus Pilihan Raya N.17 Gombak Setia, Mohd Hasrul Hisham Abdullah selepas selesai proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini, pada Sabtu.

Kerusi DUN Gombak Setia merupakan antara kerusi panas dalam PRN Selangor kali ini.

Penyandangnya, Muhammad Hilman  memenangi kerusi terbabit ketika bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bagaimanapun, beliau antara wakil rakyat yang menyertai Langkah Sheraton sekali gus untuk bersama-sama PN.

Pada PRU14, beliau memperoleh 24,157 undi menewaskan calon daripada Pas, Hasbullah Mohd Ridzwan (11,758) dan Megat Zulkarnain (BN) yang mendapat 11,113 undi.

Hilman yang juga Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara 27 ahli PKR yang dipecat dan keluar parti apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020.