KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan langkah terbaik untuk mengembalikan kestabilan politik agar rakyat mendapat khidmat terbaik daripada kerajaan yang dipilih.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, paling penting pembangkang kini seharusnya segera menghentikan tuduhan kononnya parti itu gila kuasa dan tidak memahami kesusahan rakyat.

"Bagaimana Pakatan Harapan (PH) boleh menuduh UMNO gila kuasa, sedangkan parti ini sedang memerintah, dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka kehendaki mentadbir negeri ini.

"Pemergian bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian secara tidak langsung telah mewujudkan ketidakstabilan dari segi kedudukan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jangan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong buat-buat tidak faham perkara ini. Kerajaan pimpinan Hasni hari ini bergantung kepada majoriti tipis," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA: PRN Johor: UMNO bakal bertanding 42 kerusi - Mohamad Hasan

BACA: 
Johor Memilih: Khaled Nordin sahkan tidak bertanding, beri laluan kepada muka baharu

Sebelum ini, Pakatan Harapan Johor kekal dengan pendirian bahawa PRN negeri itu adalah dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.

Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi PH Johor, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong menegaskan, ketika ini bukan masa yang sesuai untuk pilihan raya, tatkala isu virus COVID-19, varian Omicron, bencana banjir, isu ekonomi dan sebagainya belum diselesaikan sepenuhnya.

Dalam pada itu Bastien mempersoalkan, bagaimana kerajaan hendak berfungsi sekiranya di dalam persidangan Dewan Negeri kelak ada ADUN dari kerajaan yang tidak dapat hadir untuk mengundi Rang Undang-Undang (RUU) atas pelbagai sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Kerajaan akan menjadi lumpuh sekiranya pembentangan bajet atau RUU yang melibatkan rakyat tidak dapat diluluskan kerana ketidakhadiran seorang sahaja di pihak kerajaan.

"Situasi itu akan menyukarkan Kerajaan Negeri Johor untuk menjalankan urusannya terutama berkaitan isu kesihatan, ekonomi dan pendidikan. 

"Ini adalah langkah menstabilkan kerajaan bagi memberi khidmat kepada rakyat. Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada rakyat untuk menentukannya," ujarnya.

Hasni sebelum ini dilaporkan berkata, BN Johor bercadang bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN akan datang.

Namun katanya, keputusan itu tertakluk kepada pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.

Dalam pada itu Ketua Pemuda UMNO Sekijang, Mohd Nor Saidil Ibrahim berpendapat, PRN Johor kali ini amat menarik kerana buat pertama kalinya akan melibatkan penyertaan Undi18.

"Kami pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO mengalu-alukan kedatangan mereka untuk menyertai demokrasi kali ini," katanya.

Pada Isnin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi pada PRN Johor.

Jelasnya, perbincangan mengenai kerusi tersebut masih belum diadakan, namun itu sasaran parti setakat ini.