JOHOR BAHRU: Parti DAP terus agresif menggiatkan langkah persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, khususnya dalam memperkenalkan calon-calon mereka lebih awal kepada kalangan pengundi.

Terbaharu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini memperkenalkan Eric Ee Chin Li sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, yang merupakan penyandang kerusi tersebut, sebelum ini

Pada pilihan raya umum yang lepas, Chin Li yang juga Pembantu Setiausaha Organisasi Dapsy, telah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Goh Tee Tee, dengan majoriti yang agak selesa, iaitu sebanyak 5,077 undi.


Setakat ini, DAP telah mengumumkan empat calon, selain di Tangkak iaitu untuk kerusi DUN Paloh, Mengkibol dan Penggaram.

Bagi kerusi N30 DUN Paloh, DAP mempertaruhkan Naib Presiden DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali untuk mempertahankan kerusi itu.

Sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan, Sheikh Umar telah berkhidmat sebagai Exco Keusahawanan, Ekonomi Kreatif, Penerangan, Belia dan Sukan Johor.


Pada PRU lepas, Sheikh Umar menewaskan calon BN, Teoh Yap Kun, dan calon Bebas, Shamugan Munisamy dengan majoriti tipis 783 undi.

Selain itu, DAP turut mempertaruhkan bekas Timbalan Speaker Johor, Gan Peck Cheng untuk mempertahankan kerusi DUN Penggaram yang beliau menangi sejak 2013.

Bekas Ketua Pembangkang wanita pertama di Johor itu, pada PRU lepas, menewaskan Kang Beng Kuan (BN) dan Misran Samian (Pas) dengan majoriti selesa 17,205 undi.

Bagi kerusi DUN Mengkibol pula, DAP turut meletakkan sandaran kepada Chew Chong Sin untuk mempertahankan kerusi yang beliau menangi dengan majoriti 19,226 undi.

Pada PRU lepas, Chew mendapat 25,559 undi menewaskan calon BN dari MCA, Chin Sim Lai yang mendapat 10,333 undi.



Pada PRN ini, DAP yang akan bertanding di bawah logo Pakatan Harapan diperuntukan 16 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara masing-masing mendapat 20 kerusi.

Namun, peruntukan kerusi itu dijangka berubah tertakluk kepada hasil rundingan antara Pakatan Harapan di peringkat negeri bersama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).