PUTRAJAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan akan memberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang.

Muhyiddin berpendapat, setiap parti dan calon wajar diberi peluang untuk berkempen berdasarkan batas-batas tertentu.

"Dari apa yang disebut oleh Menteri (kesihatan) tadi, kemungkinan disebabkan oleh kelonggaran, saya sendirilah, sebab saya ada kepentingan di situ mengharapkan sistem demokrasi berjalan dengan lebih telus dan mereka yang terlibat dalam PRN, parti mana sekalipun perlu diberi peluang untuk berkempen tapi ada batas-batas yang tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat MPN yang kedua bagi tahun 2022 di sini, pada Selasa.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI 




Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi Bersatu pada PRN Johor, beliau memberitahu, partinya masih belum membuat sebarang ketetapan.

"Kita akan selesaikan, ini soal dalaman parti, apa yang ditahu pun? Bila ada pilihan raya akan ada orang bertandinglah," katanya.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Baginda berbuat demikian selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor. 

Hasni mengambil langkah itu dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di negeri terbabit.

Pembubaran DUN dibuat selepas Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis iaitu 28 kerusi berbanding 27 di blok pembangkang.

Ini susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.