Pakatan Harapan (PH) akan mula menyusun gerak kerja jentera di peringkat negeri dan pusat minggu depan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kata Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Beliau yang juga pengerusi PKR negeri berkata, meskipun tarikh PRK belum diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), persiapan awal itu amat diperlukan bagi memastikan kemenangan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan berkenaan.

"Kita akan pastikan kemenangan PH bagi PRK kali ini termasuk memastikan kehadiran pengundi yang tinggi dan ini matlamat kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvokesyen kali ketiga Kolej Vokasional Malaysia Zon Tengah dan Selatan 2018 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, pada Sabtu.

Khamis lepas, Aminuddin yang juga menteri besar dipetik sebagai berkata beliau menyasarkan 60 peratus keluar mengundi pada PRK Parlimen Port Dickson dengan merangka pelbagai aktiviti untuk tujuan itu.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, yang meletak jawatan selaku wakil rakyat kawasan itu untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.

-- BERNAMA