GUA MUSANG: Polis menerima 18 laporan dan membuka enam kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sejak semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata enam kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya Seksyen 4 (a) (1); Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia; dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 12 laporan lagi membabitkan kes-kes terpencil.

"Walaupun terdapat sedikit kekecohan kecil berlaku di antara penyokong parti yang berkumpul di pusat pengundian Sungai Asap pagi tadi, namun perkara itu telah diselesaikan oleh pihak polis.

"Alhamdulillah, setakat ini saya menyifatkan PRK DUN Nenggiri yang berlangsung hari ini terkawal dalam keadaan harmoni," katanya dalam sidang media selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Asap di sini hari ini.