GUA MUSANG: Keluasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang hampir dua kali ganda saiz Melaka, antara cabaran utama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Calon mewakili Kerajaan Perpaduan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata ia bagaimanapun tidak menghalangnya untuk menyantuni setiap pengundi di kawasan ini.

Ketika ditemui pada hari kedua kempen di Kampung Bertam Baharu di sini, kira-kira 45 minit perjalanan dari bandar Gua Musang, beliau yang mesra disapa Awie berkata keadaan itu juga akan menjadi ujian untuk sentiasa dekat dengan akar umbi dan melaksanakan tugas dengan baik.

"Maklum balas daripada pengundi DUN Nenggiri menunjukkan mereka mendambakan wakil rakyat yang sentiasa turun padang dan dekat di hati rakyat.

"Pembangunan boleh dibuat tetapi, lebih penting ialah wakil rakyat yang sentiasa berada dengan mereka. Kuasa di tangan rakyat, hari ini jika kita dipilih tetapi kita tidak berkhidmat kepada rakyat, lima tahun lagi kita akan ditolak," katanya kepada pemberita.

Pada PRK 17 Ogos depan, Mohd Azmawi Fikri akan berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

Mohd Azmawi Fikri berkata DUN Nenggiri mempunyai sembilan kampung tradisional, lima pusat daerah mengundi (PDM) Orang Asli, lima PDM Kesedar dan satu kawasan Felda.

"Perancangan perlu teliti dan ketepatan masa. Selalu kita dengar kelewatan kapal terbang, tetapi hari ini saya terlewat naik bot sebab air besar dan kita perlu berhati-hati demi keselamatan," katanya.

Mengenai pembangunan di DUN itu, beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada penjanaan ekonomi rakyat menerusi Projek Hidrolektrik Nenggiri yang dijangka mula beroperasi pada 2027 dan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR).

"Dua projek ini boleh mendatangkan peluang pekerjaan dan impak ekonomi. Ini perlu diteliti agar limpahan daripada projek ini memberi manfaat kepada penduduk Nenggiri," katanya.

PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan, selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

-- BERNAMA