GUA MUSANG: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyerahkan kepada Allah untuk menurunkan hujan, bagi memulihkan paras air di tiga empangan di negeri Kedah.

"Tunggu Allah turunkan hujan. Kita manusia tak boleh buat hujan sendiri, doa kepada Allah (supaya) turun hujan. Allah akan perintah malaikat turun hujan.

"Hujan mari, penuh balik takungan tu, tanya penyelesaian manusia kepada kerja tuhan, memang tak ada, manusia tak boleh buat, tunggu tuhan beri," katanya kepada pemberita ketika program sarapan pagi bersama Menteri Besar Kedah, di Renok di sini, hari ini.

Turut hadir calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Mohd Rizwadi Ismail.

Pada Khamis, Bernama melaporkan paras air di Empangan Muda berbaki lapan peratus, Empangan Pedu (39.09 peratus) dan Empangan Ahning (81.80 peratus), dengan purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan ialah 43.68 peratus.

Ditanya sekiranya penyusutan air empangan berkenaan memberi kesan kepada aktiviti pertanian, Muhammad Sanusi berkata isu tersebut tidak memberi kesan.

"Musim penggunaan air, dah dibuang daripada bendang, jadi sungai-sungai MADA penuh air sekarang ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Rizwadi berkata ketika beliau melakukan tinjauan, pihaknya mendapati antara perkara berbangkit daripada keluhan rakyat ialah melibatkan isu infrastruktur.

"(Masalah-masalah) yang (di kemukakan) itu, kita ada dengar, cuma saya masih belum dapat buat apa-apa lagi. Setakat ini masalah tersebut melibatkan Persekutuan, contohnya infrastruktur," katanya ketika ditanya mengenai masalah yang membelenggu penduduk Nenggiri dan tindakannya dalam menyelesaikan masalah.

Mohd Rizwadi akan berdepan calon Barisan Nasional mewakili Kerajaan Perpaduan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan, selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.

-- BERNAMA