PARIS: Penampilan pertama pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara Nur Aisyah Mohamad Zubir di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak berjaya membuahkan hasil apabila menjadi antara 14 pelumba yang direkodkan sebagai tidak menamatkan perlumbaan pada Ahad.

Bagaimanapun laman sesawang olympics.com/en/paris-2024 tidak menyatakan dengan lebih lanjut.

Perlumbaan sejauh 158.0 kilometer (km) di Trocadero itu menyaksikan pelumba Amerika Syarikat, Kristen Faulkner membawa pulang pingat emas dengan catatan 3:59:23s, manakala Marianne Vos (Belanda) dan Lotte Kopecky (Belgium), masing-masing merangkul perak (4:00.21s) dan gangsa (4:00:21s).

Nur Aisyah mencipta sejarah muncul pelumba berbasikal lebuh raya wanita Malaysia pertama beraksi di pentas Olimpik selepas Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghadiahkannya slot ke Paris 2024.

Nur Aisyah sebelum ini dihantar ke Belgium untuk mengambil bahagian dalam hampir 20 kejohanan sebagai aksi pemanas badan sebelum terlibat dengan kemalangan ketika menyertai pertandingan di sana pada 16 Jun lepas.

Beliau mengalami kecederaan ringan di bahu dan tekak susulan kemalangan itu selain basikal gantian yang digunakan Nur Aisyah ketika menyertai pertandingan tersebut patah di beberapa bahagian.

-- BERNAMA