Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang lebih mesra disapa Awie berkata antara perkara yang akan ditekankan dalam manifesto tersebut adalah dari sudut modal insan, ekonomi tempatan dan perumahan generasi muda.
"Saya sudah ada draf manifesto, saya perlu menunggu dua atau tiga perkara lagi untuk dimasukkan," katanya ketika ditemui Bernama di Ladang Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC) Sungai Terah, hari ini.
Hari ini masuk hari kelima kempen PRK berkenaan yang akan berlangsung Sabtu ini, menyaksikan Mohd Azmawi sebagai wakil Kerajaan Perpaduan berdepan pesaingnya daripada Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo Pas.
Selain manifesto, menurutnya sepanjang tempoh berkempen juga, beliau memanfaatkan pengalamannya dalam arena politik bagi memenangi kepercayaan segenap lapisan masyarakat Nenggiri.
"Semestinya kalau saya dipilih, saya akan menjadi 'jambatan' kepada kerajaan Persekutuan dalam berjuang masalah rakyat Nenggiri.
"Meskipun saya akan berperanan dalam proses semak imbang dalam DUN, namun saya juga bertanggungjawab membawa isu-isu Nenggiri ke kerajaan Persekutuan," katanya.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lepas.
-- BERNAMA