KULAI: DAP sudah memulakan gerak kerja bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 Sept ini.


Ringkasan AI
  • DAP telah memulakan gerak kerja untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang akan diadakan pada 28 September.
  • Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, menyatakan bahawa bantuan ini adalah arahan daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan melibatkan ahli DAP dari seluruh negara.
  • Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 September, dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September.
  • PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos.


Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching berkata gerak kerja awal itu telah dimulakan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dengan dibantu ahli DAP kawasan berkenaan dan jentera dari seluruh negara.

"DAP akan sepenuhnya membantu kempen calon daripada UMNO memenangi kerusi itu. Kita akan lakukan yang terbaik kerana kita adalah rakan dalam Kerajaan Perpaduan. Itu juga merupakan arahan daripada Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) sendiri.

"Ahli kita ada ratusan ribu di seluruh negara. Kita galakkan mereka yang lapang dan berkemampuan untuk turun membantu kempen ini," katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Jom Tonton Wayang 'Takluk: Lahad Datu' bersama warga Kulai di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

-- BERNAMA