PUTRAJAYA:Kerajaan akan memanggil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membentangkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu bagi memastikan setiap SOP yang ditetapkan akan menjamin keselamatan khususnya pengundi di kawasan berkenaan.

"Kita akan panggil pihak SPR sama ada esok atau lusa bagi membentangkan SOP yang lebih ketat untuk PRK itu.

"Ini kerana, PRK wajib dijalankan kerana ia bukan bidang kuasa kerajaan untuk menghalang atau menangguhkannya.

"Oleh itu, kita akan bincang tentang SOP dengan SPR supaya akan memastikan keselamatan penggundi di kawasan itu selain mengurangkan pergerakan atau hubungan dengan individu lain sewaktu tempoh pilihan raya," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.



Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, perkara itu juga akan diumumkan selepas semua SOP berkaitan pilihan raya itu dimuktamadkan SPR.

PRK Parlimen Batu Sapi dijadualkan pada 5 Disember susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu.