15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Perikatan Nasional (PN) sekali lagi menghadap Tuan Yang Terutama Yang Di-pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, hari ini.

Pertemuan itu berlangsung di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri di sini dengan diketuai oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Difahamkan, kunjungan berkenaan adalah bagi mendapatkan kepastian mengenai nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Semalam kumpulan berkenaan mengadakan pertemuan dengan Mohd Khalil bagi mempersembahkan Akuan Bersumpah (SD) baharu.

Ia selepas keputusan PN yang dianggotai 13 ADUN Barisan Nasional (BN) dan masing-masing seorang ADUN PKR serta DAP membatalkan kerjasama dengan dua ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Melaka.

Ia membabitkan ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Difahamkan, BN menamakan ADUN Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali untuk dicalonkan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12.

Istiadat Pengurniaan Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka ke-12 yang dijadual berlangsung hari ini turut ditangguhkan pada Isnin depan.