KUALA LUMPUR: Cadangan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris untuk membubarkan Parlimen adalah bukti bahawa pembangkang semakin ketandusan idea, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi.

Katanya, pembangkang gagal menawarkan penyelesaian alternatif yang bermanfaat kepada rakyat dan negara, sebaliknya memilih jalan singkat dengan menukar kerajaan secara kerap.

“Pembangkang harus sedar bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk tempoh lima tahun.

“Dalam tempoh tersebut sekiranya prestasi kerajaan didapati tidak memuaskan hati, maka rakyat berhak memberi mandat kepada gabungan yang lain dalam Pilihan Raya Umum ke 16,” katanya dalam sebuah kenyataan pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Razali supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen segera untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu.

Razali mendakwa pilihan raya kilat disifatkan jalan terbaik mengukur sokongan kerajaan hari ini, bukan usul tidak percaya di Dewan Rakyat seperti gesaan Anwar kepada pembangkang, Jumaat lalu.

Nabil turut menyatakan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai reformasi ekonomi dalam hampir dua tahun pentadbiran, seperti penstrukturan semula subsidi dan Pelan Induk Industri Baharu 2030.

Langkah ini, jelasnya, telah memulihkan keyakinan pelabur, mengukuhkan nilai ringgit, serta mendorong pertumbuhan ekonomi negara melebihi jangkaan.

Nabil turut mengkritik pembangkang yang menolak kerjasama dengan kerajaan melalui memorandum persefahaman (MOU) peruntukan ahli parlimen, walaupun ruang rundingan masih terbuka.

Menurutnya, sikap pembangkang yang kerap mahu menukar kerajaan hanya akan mengganggu kestabilan negara.