Menurut Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu, ia membawa maksud bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan PN untuk membentuk sebuah kerajaan.
“Saya merasakan ia adalah satu mesej yang sangat jelas, yang mana, mereka (UMNO) boleh bekerjasama dengan mana-mana parti lain kecuali PN,” katanya ketika ditemui media di hadapan pejabat Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Gasing pada Khamis.
Malam tadi, MKT UMNO sebulat suara memutuskan untuk menyokong kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dibentuk.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat MKT parti itu yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.
Pasca PRU15: UMNO sebulat suara sokong kerajaan perpaduan bukan diterajui PN - Ahmad Maslan
Ditanya berkenaan perjumpaan DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), jawabnya masih belum ada perkembangan mengenai perkara tersebut dan pihaknya mengharapkan yang terbaik.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun itu ketika ditanya tujuan hadir ke pejabat Anwar berkata, beliau mahu bertemu rakan-rakan untuk bersiap sedia bagi pilihan raya negeri akan datang.
Johari antara pemimpin negeri yang hadir ke pejabat itu hari ini, termasuk Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Sazali Abdullah.