KUALA LUMPUR: Pas konsisten dengan pendirian mendukung dan memperkuatkan kerajaan yang diterajui bersama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan STAR.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan, partinya tidak akan jalin sebarang kerjasama politik dengan parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) menerusi pendekatan 'Khemah Besar' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pas amat yakin pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai melalui kolaborasi parti utama di negara ini berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan Bumiputera adalah formula paling berkesan serta akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

"Pas juga melalui pendekatan Politik Matang dan Sejahtera sentiasa komited serta sedia berbincang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dalam satu kenyataan menjelaskan pendekatan 'Khemah Besar' yang dianjur parti pimpinannya tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau Pas.

Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, turut menggesa PH supaya lebih percayakan kekuatannya sendiri untuk menghadapi PRU15, sama seperti keyakinan gabungan itu sejak 2008.