PAS akan mengadakan demonstrasi besar-besaran sekiranya Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim d‎an ahli lembaga pengarah yang berkepentingan dalam 1MDB tidak meletak jawatan, lapor The Malaysian Insider.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata, partinya menggerakan ahlinya membuat laporan polis di seluruh negara berhubung pembelian sebidang tanah oleh TH milik 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) baru-baru ini.

"Kita mahu perkhidmatan Azeez dan ahli lembaga pengarah yang terlibat dengan 1MDB segera ditamatkan. Tabung Haji jangan jadi 'pak angguk' kepada pengkhianatan dana awam.

"Kalau tidak selesai, kita akan buat himpunan besar-besaran bersama rakyat," Khairuddin dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengurus Besar Kanan Jabatan Sumber Manusia Tabung Haji, Hisham Harun, di perkarangan bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak hari ini.

Dilaporkan kira-kira 200 orang yang terdiri dari penyokong PAS berhimpun selepas solat Jumaat membantah tindakan Tabung Haji membuat pelaburan hartanah sejumlah RM188.5 juta daripada 1MDB.