Pas dan UMNO menafikan kedua-dua parti itu akan menggunakan satu logo bersama pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pas dan UMNO pada Selasa adalah mengenai kerjasama penyatuan ummah dan bukan penyatuan parti.

Malah katanya, kerjasama berkenaan tidak akan meminggirkan mana-mana rakan dalam komponen parti masing-masing.

“Ia bukan penyatuan parti-parti. Ia berasaskan kepada kebersamaan dan isu yang mempunyai asas kepada parti. Tidak ada simbol parti baru. Kerjasama ini tidak akan meminggir mana-mana pihak,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pas-UMNO yang berlangsung lebih dua jam di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC) di sini.

Hala tuju perbincangan penyatuan ummah juga mengambil kira masyarakat majmuk tanpa meminggirkan agama dan bangsa lain.

Pada masa sama, penubuhan satu jawatankuasa khas atau teknikal bersama akan dibentuk untuk memperincikan bentuk kerjasama seterusnya selepas ini.

“Perbincangan juga bersetuju untuk meneruskan gerak kerja bersama dalam setiap PRK yang akan datang.

“Perbincangan juga bersetuju untuk memantapkan kerjasama di parlimen sebagai pembangkang,” katanya lagi.

Hasil perbincangan hari ini akan dibawa berbincang di peringkat tertinggi dengan rakan parti masing-masing.

“Mantapkan kerjasama kedua parti di Parlimen di atas satu kaukus pembangkang yang akan jadi semak dan imbang. Kita akan jadi pembangkang yang bahas apa saja isu dan beri sokongan kalau ia beri manfaat kepada negara dan tak setuju kalau tidak memanfaatkan negara. Kita akan bersama secara kaukaus pembangkan di Parlimen,” tambahnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu kerjasama kedua-dua parti diteruskan untuk pembangunan ummah.

“Ini adalah kerjasama mengenai polisi masing-masing. Cuma kita nak cari titik penyatuan ummah,” ujar beliau.

Malah, beliau turut senada dengan UMNO bahawa ini bukan penyatuan dua parti sebaliknya menjurus kepada kebaikan dua parti.