Pakatan Harapan dilihat hanya menumpang populariti dari beberapa kelemahan Barisan Nasional (BN) dalam isu pengurusan rakyat.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, bagaimanapun kekuatan Pakatan Harapan juga tidak kekal lama dan dilihat bertahan hanya untuk satu pilihan raya umum (PRU) sahaja.

"PKR juga hanya boleh bertahan selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim ada selain Parti Amanah Negara (Amanah) juga yang tidak boleh kekal lama.

"Kelebihan Pakatan Harapan sekarang ialah kerana banyak kelemahan dalam BN dalam mengurus isu rakyat, kos sara hidup dan macaam-macam isu yang pernah saya hurai dan membuatkan rakyat tidak puas hati," katanya semasa sidang media di pejabatnya di sini pada Selasa.

Baru-baru ini, Pakatan Harapan menandatangani perjanjian bersama antara ketiga-tiga parti yang menganggotainya bagi membentuk kesatuan politik yang mampan.

Gabungan pembangkang yang dimeterai itu juga dikatakan dapat memberi struktur yang lebih tersusun dalam kerjasama antara PKR, DAP dan Amanah.

Dalam pada itu kata Ibrahim, kenyataan DAP bahawa mereka bukan parti anti Melayu benar-benar memualkan.

"Mereka menyatakan bukan parti perkauman tetapi semua jawatan penting dalam DAP adalah Cina.

"Janji mereka untuk mempertahankan Islam, Bahasa Malaysia, kedaulatan raja-raja Melayu dan keistimewaan Melayu hanya janji semata-mata.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perjanjian Pakatan Harapan antara PKR, DAP dan Amanah tidak menjejaskan kekuatan parti itu pada PRU14 akan datang.

Tegasnya, gabungan pakatan merupakan perkara biasa malahan sudah wujud sejak negara merdeka.