Kenyataan Ahli Parlimen DAP Sibu, Oscar Ling Chai Yew yang menyamakan sekolah agama dengan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dilihat cubaan berani 'menjolok sarang tebuan'.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tindakannya itu jelas mencabar kredibiliti dan kedudukan agama Islam di negara sendiri.

"Cubaan untuk menggugat dan menyamakan kedudukan sekolah agama dengan SJK amat keterlaluan dan berunsur politik.

"Dia sengaja mencetuskan kemarahan penganut agama Islam dan perbuatan itu ternyata berniat jahat," katanya dalam tulisan terbaharu di blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com/.

Pada Selasa, Oscar mendakwa sekolah agama juga menyebabkan permisahan kaum di lobi Parlimen.

Kata Syed Ali, wakil rakyat berkenaan tidak sensitif terhadap kepelbagaian agama dan adat resam di negara ini.

"Ia dilihat satu hasutan secara halus supaya berlaku perbalahan antara kaum di negara ini.

"DAP sentiasa mencetuskan keresahan di kalangan masyarakat, ternyata parti itu bersifat rasis dan anti kepada kedudukan orang Melayu dan agama Islam di Malaysia," jelasnya.

Syed Ali turut mengingatkan mana-mana pemimpin politik pembangkang terutama DAP supaya tidak berterusan mencetuskan isu sensitif melibatkan kepentingan kaum dan agama.

"Dalam kes wakil rakyat DAP Sibu yang biadap ini, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana ia jelas berbau hasutan.

"DAP sebenarnya berniat jahat, tebal dengan semangat perkauman, mereka sentiasa mempersoalkan kredibiliti dan kedudukan orang Islam, malah turut mempertikaikan peranan raja-raja Melayu," tegasnya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun turut melahirkan perasaan berang terhadap tindakan Oscar.

Ia dinyatakan di dalam laman Twitternya.




Sebelum ini, Pemuda UMNO pernah menyerahkan memorandum mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap individu yang menghina sesuatu agama serta bangsa terutamanya Islam dan orang Melayu di laman sosial.